Bersediakah
kamu menjadi suami?
Kebiasaan
masyarakat kita apabila disebut persediaan menjadi suami, mereka menyangka ia
adalah memiliki sijil pengajian tinggi, paling kurang diploma. Telah memiliki
kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500, diikuti dengan sebuah rumah dan
kereta.
Tidak
ketinggalan, wang tunai berjumlah RM30,000 untuk urusan perkahwinan seperti
duit hantaran, dulang-dulang hantaran, cincin dan belanja kenduri kahwin. Jika
seorang lelaki belum memiliki semua ini, dia belum layak untuk bergelar suami.
Namun
dalam Islam, ukuran persediaan untuk menjadi suami bukanlah seperti di atas.
Persediaan untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada kualiti lelaki tersebut
dan inilah yang akan diperincikan di sini.
1.
KEPIMPINAN
Persediaan
terpenting ialah bakal suami perlu mengetahui bahawa dia memiliki tanggungjawab
sebagai pemimpin ke atas keluarganya.
Allah
berfirman: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab
terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki
(dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.” [al-Nisa' 4:34]
Sebagai
pemimpin, bakal suami hendaklah memiliki ilmu rumahtangga, akhlak yang
menterjemah teori kepada praktikal, disiplin yang tinggi serta wawasan yang
luas. Jika sebelum ini pernah menjadi pemimpin, seperti pemimpin kelab,
persatuan, rombongan atau jabatan, maka ia adalah pengalaman yang boleh
dikembangkan dalam kepimpinan rumahtangga.
Bagi
yang belum pernah, maka alam rumahtangga adalah suasana yang baik untuk mula
melatih diri menjadi pemimpin. Terasa sukar? Jangan bimbang. Lantiklah isteri
anda menjadi timbalan pemimpin untuk bersama-sama saling membantu mengemudi
bahtera rumahtangga.
Di
sini perlu diingatkan bahawa kepimpinan anda sentiasa dicatit markahnya oleh
malaikat di bahu kanan dan kiri. Oleh itu berwaspadalah, jangan menjadi
pemimpin yang ego dan zalim. Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda akan
dipersoalkan semula oleh Allah pada Hari Akhirat kelak.
2.
KETEGASAN
Lanjutan
dari ciri seorang pemimpin, bakal suami hendaklah tegas dalam membimbing
isteri. Kelak apabila dianugerahkan cahaya mata, suami juga hendaklah tegas
dalam membimbing anak-anak.
Allah
mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara
isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu
awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan
dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah
akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.” [al-Taghabun 64:14]
Oleh
itu dalam institusi perkahwinan, suami adalah pemimpin dan bukan yang dipimpin,
penjaga dan bukannya dijaga serta pengawal dan bukannya dikawal. Namun
ketegasan bukanlah bererti bengis dan menakutkan, sebaliknya hendaklah bersikap
memaafkan dan tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka.
3.
PEMELIHARA DARI API NERAKA
Suami
merupakan pemelihara agar ahli keluarga tidak masuk ke dalam api neraka.
Firman
Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu
dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu
dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka
tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka,
dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [al-Tahrim 66:06]
Justeru
anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan seterusnya mendidik
ahli keluarga serta memastikan mereka mempraktikannya. Lebih penting, anda
hendaklah paling kehadapan dalam mempraktikkan ilmu-ilmu agama tersebut. Jangan
sekadar menyuruh ahli keluarga mendirikan solat tetapi anda tidak solat, jangan
sekadar menyuruh ahli keluarga menutup aurat tetapi anda mendedahkan aurat.
Allah
memberi amaran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa
yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff 61:2-3]
4.
MEMBERI NAFKAH
Termasuk
persediaan menjadi suami ialah kesedaran bahawa anda merupakan sumber kewangan
rumahtangga. Justeru anda bertanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal,
keperluan asas dalam tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman kepada ahli
keluarganya. Anda juga bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli
keluarga seandainya mereka jatuh sakit.
Meskipun
nafkah rumahtangga berada di atas bahu suami, ini tidaklah bererti suami mesti
memiliki pendapat minima yang tertentu jumlahnya. Setiap suami memiliki
kemampuan kewangan yang berbeza dan setiap suami berbelanja untuk ahli
keluarganya pada kadar kemampuannya. Tidak ada nilai minimum atau maksimum
untuk kadar nafkah ini.
Allah
berfirman: “Hendaklah orang (suami) yang mampu memberi nafkah menurut
kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia
memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).”
[al-Thalaq 65:07]
Demikianlah
beberapa kualiti yang perlu ada pada seorang lelaki untuk dia menjadi seorang
suami. Perhatikan bahawa kualiti-kualiti ini tidak ada ukuran minimum dan
maksimum atau batasan tertentu bagi menentukan layak atau tidak.
Ia
adalah kualiti yang nilainya relatif, ia akan bertambah apabila anda berusaha
untuk memperbaikinya dan akan berkurang apabila anda mengabaikannya. Justeru,
lelaki yang sudah bersedia menjadi suami ialah lelaki yang mengetahui
kualiti-kualiti ini, memilikinya dan berazam untuk terus memperbaikinya.
No comments:
Post a Comment